Home » » 3 Amalan Yang Tidak Terputus Pahalanya

3 Amalan Yang Tidak Terputus Pahalanya

Maksud hadis :

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu katanya,, Rasulullah SAW telah bersabda : Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariyah (wakaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.'' (HR Muslim).

PENJELASAN HADITH :
Sesungguhnya kita diciptakan oleh Allah mempunyai matlamat yang tertentu iaitu agar kita sentiasa mengabdikan diri kepada Allah serta mentaatinya dengan melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang.

Firman Allah Ta’ala dalam surah Adz –Dzaariyaat ayat 56 , berbunyi :

وما خلقت الجن والإنس إلا ليعبدون

Kira-kira maksudnya: “Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah-Ku.”

Allah telah menjanjikan pahala bagi mereka yang sentiasa beriman dan bertakwa kepadanya sebagai jaminan untuk mencium bau syurga dan juga memberikan dosa dan api neraka kepada mereka yang mengkufuri perintahnya. Segala amalan kita didunia akan terputus apabila kita kembali menghadap ilahi. Namun terdapat 3 amalan sahaja yang masih dterima allah sebagai pahala kita di akhirat nanti meskipun kita sudah meninggalkan dunia fana ini. Amalan-amalan tersebut adalah:
1) amal jariyah
2) ilmu yang bermanfaat
3) anak soleh yang mendoakan ibu bapanya.

Di sini jelas menunjukkan kepada kita betapa tingginya nilai rahmat dan kasih Allah terhadap hambanya, memberikan peluang untuk memperolehi pahala walaupun kita sudah berada di alam barzakh. Sekarang terserahlah kepada kita untuk mengambil peluang keemasan ini selagi hayat masih ada.

AMAL JARIYAH

Amal jariyyah menurut bahasa ialah perbuatan yang baik.

Menurut istilah ulama syara’ amal jariyyah juga di sebut sebagai wakaf iaitu menahan sesuatu yang bolah dimanfaatkan bagi tujuan kemaslahatan serta kekal zatnya sebagai
( taqarrub) pendekatan diri terhadap Allah.

Hukum melakukannya adalah sunat.

Firman Allah Ta’ala yang berbunyi :

لن تنالوا البر حتى تنفقوا مما تحبون وما تنفقوا من شيء فإن الله به عليم

Yang kira-kira bermaksud : Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. (Surah Ali ‘Imran, ayat 92)

Amal jariyah merupakan amalan yang terpuji disisi Allah antaranya ialah membangun masjid atau sekolah, mewakafkan kitab-kitab bermanfaat kepada masjid dan lain-lain lagi. Perkara ini ada disebutkan dalam hadith, riwayat Ibn Majah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang kira-kira bermaksud:

''Sesungguhnya amal dan kebaikan yang terus mengiringi seseorang ketika meninggal dunia adalah ilmu yang bermanfaat, anak yang dididik agar menjadi orang shaleh, mewakafkan Al-Quran, masjid, membangun tempat penginapan bagi para musafir, membuat irigasi, dan bersedekah.'' (HR Ibn Majah).

Berikut disenaraikan antara fadilat-fadilat amal jariyyah berbentuk sedekah ialah :

1) Bersedekah merupakan jalan kepada pintu-pintu kebaikan dan menutup pintu-pintu kejahatan.
2) Ikhlasnya bersedekah dapat meringankan kesusahan seseorang.
3) Harta orang yang bersedekah tidak akan berkurangan malah ianya akan bertambah.
4) Dengan bersedekah, kita akan terhindar dari bala dan umur juga diberkati serta menjadi panjang.
5) Merahsiakan sedekah memadam kemurkaan Allah manakala sedekah secara terang-terangan pendinding api neraka.

Oleh itu, kita diseru agar sentiasa melakukan amal jariyah dengan penuh keikhlasan kerna ianya bukan sahaja memberikan maslahat kepada masyarakat amnya.Bahkan pahalanya akan sentiasa mengalir walaupun kita telah menghembuskan nafas terakhir. Maka tidak rugilah harta yang telah disedekahkan pada jalan Allah sesuai dengan firman Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 262 yang kira-kira bermaksud :

Orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut-nyebut pemberiannya dan tidak menyakiti perasaan si penerima, mereka memperolehi pahala di sisi tuhan mereka. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati.


Dan sabda nabi yang berbunyi :

لا تستحيوا من إعطاء القليل فإن الحرمان أقل منه
Maksudnya : Jangan kamu malu dengan pemberian yang sedikit kerana tidak memberi langsung lebih sedikit daripadanya.

ILMU YANG BERMANFAAT.

Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang melalui jalan ke arah menuntut ilmu maka Allah mudahkan untuknya jalan ke syurga. (Hadith Riwayat Muslim)

Pepatah juga ada mengatakan:
Kerjakanlah amal ibadah seolah-olah kamu mati pada keesokan harinya dan tuntulah ilmu tu seolah kamu hidup seribu tahun lagi.

Menuntut ilmu adalah amat digalakkan tidak kiralah ilmu pengetahuan itu berbentuk keagamaan mahupun saintifik atau ekonomi. Apa jua ilmu bermanfaat yang telah kita pelajari sewajarnya kita aplikasikan dalam kehidupan seharian. Dan amat beruntung lagi jika ilmu sedemikian disebarkan dan diajarkan dengan meluasnya kepada orang ramai bersesuaian dengan sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam :

بلغوا عني ولو ءاية
Yang kira-kira bermaksud : Sampaikanlah dariku walau sepotong ayat.


Diriwayatkan oleh al-Imam Ibnu Majah daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda:

"Pelajarilah oleh kamu ilmu faraidh itu, kerana ia adalah sebahagian daripada agama dan ia adalah setengah daripada ilmu. Ia juga adalah ilmu yang pertama dicabut daripada umatku"

Kedua-dua hadith di atas menuntut kita agar sentiasa mengajarkan ilmu yang dipelajari kepada yang jahil dan memerlukan kerana kelebihan menuntut ilmu dan mengajarkannya itu amat luas di sisi masyarakat dan juga disisi maha pencipta, Allah Subhanahu Wata’ala.

Sesungguhnya mereka yang berilmu dan menyembunyikannya adalah termasuk daripada orang-orang yang rugi. Hidup mereka cuma setakat mendapat kepuasan diri sendiri dan pahalanya hanya setakat didunia sahaja. Begitu juga mereka yang luas ilmunya akan tetapi kurang mempunyai adab dalam menuntut ilmu seperti melawan guru bermegah-megah dan merasakan ilmu yang diperolehinya sudah cukup hebat, ilmu yang mereka perolehi hanyalah sia-sia dan tidak mendapat berkat dari yang Maha Esa. Oleh yang demikian, tuntutlah ilmu dengan penuh adab dan rasa rendah diri kerana sesungguhnya ilmu itu adalah milik Allah Subhanahu Wata’ala.

Firman Allah Subhanahu Wataala :

قال فإن اتبعتنى فلا تسألنى عن شيء حتى أحدث لك منه ذكرا
Ertinya : Berkata Khidr (selaku guru), jika kamu ingin ikutiku maka jangan kamu bertanya apa-apa sehinggalah aku menceritakannya kepadamu." ( Al-Kahfi, ayat 70)

Ayat ini tidak bermaksud kita sebagai murid tidak boleh bertanya semasa waktu pembelajaran, namun adab yang dimaksudkan di sini hendaklah dengan cara meminta izin terlebih dahulu.

Hadith Riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi ada mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Sesiapa yang ditanya tentang ilmu lalu dia menyembunyikannya akan diikat mulutnya (meletakkan kekang di mulutnya seperti kuda) dengan kekang dari api neraka pada Hari Kiamat."

Berlainan dengan mereka yang ikhlas memberikan ilmu yang bermanfaat sebagai contoh pensyarah dan guru. Tidak terbatas hanya mengharapkan imbalan gaji yang diterima.Generasi ilmuan seperti ini perlulah mempunyai hati yang ikhlas demi mengharap redha dan berkat Allah dalam menjalani kehidupan. Dan ingatlah Allah Maha Mengetahui apa jua yang kita sembunyikan.

Di sebabkan nilai keikhlasan amalan seseorang dalam mengajarkan ilmu mereka inilah, Allah mengangkat darjat para ilmuan dikalangan para sahabat dan ulama dan menjanjikan pahala yang besar kepada kita baik semasa kita hidup ataupun telah meninggal dunia.

DOA ANAK YANG SOLEH.

Ibu bapa mempunyai amanah yang besar dalam mendidik anak-anak mereka.Jika baik tarbiyahnya maka solehlah anak tersebut namun jika sebaliknya, akan mendatangkan kerugian kepada diri mereka sendiri.

Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, dari Abu Hurairah radhiallahu 'anhu, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda, maksudnya:

"Setiap anak dilahirkan atas fitrah, maka kedua ibu bapanyalah yang meyahudikannya atau menasranikannya atau memajusikannya".


Anak merupakan amanah Allah yang amat bernilai kepada kita bagi mencorak dan melahirkan generasi yang bakal menerajui dunia yang penuh pancaroba. Didikan agama yang betul adalah amat dititik beratkan. Insyaallah anak yang soleh, baik budi pekerti dan agamanya bukan sahaja menjadi harapan bangsa dan masyarakat Islam malah kepentingannya kembali kepada orang tuanya itu sendiri. Dengan ini, tidak rugilah mereka yang mempunyai anak yang soleh dan solehah kerna mereka lah yang akan sentiasa mendoakan orang tuanya setelah mereka meninggal dunia dan berikutan ini bertambahlah pahala orang tua tersebut hanya kerana sebuah doa dari anaknya.

PENGAJARAN YANG DAPAT KITA AMBIL DARI HADITH DI ATAS :

1) Islam menggalakkan hambanya agar sentiasa bersifat ikhlas dalam melakukan amalan-amalan yang terpuji.

2) Galakan terhadap semua umat islam agar menggunakan kesempatan hidupnya dengan melakukan 3 perkara tadi iaitu amal jariyah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh kerana pahala daripada melakukan amalan-amalan ini tidak akan putus sekalipun kita sudah tiada.

3) Seruan kepada kedua orang tua agar sentiasa menitikberatkan dalam mendidik anak-anak mereka dengan tarbiyah yang baik.

4) Amal jariyah seperti bersedekah mempunyai fadilat yang banyak sepertimana yang disebutkan didalam ayat-ayat al-quran dan hadith-hadith.

5) Ilmu yang berkat adalah bersumber dari keikhlasan, kecekalan hati dalam menimba ilmu pengetahuan disamping menjaga adab dan displin ketika belajar.


0 komentar:

Posting Komentar